Empat negeri PN paling tinggi kes dadah, Kelantan paling teruk

Empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mencatat kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia.

Paling parah membabitkan negeri Kelantan yang merekodkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Terengganu pula kedua tertinggi dengan 914 kes, diikuti Perlis (965 kes) dan Kedah (898 kes) bagi jumlah penduduk sama.

Beliau berkata, berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 61 peratus daripada mereka yang berusia antara 15 dan 39 tahun, yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.

“Jumlah itu membabitkan 56 peratus daripada mereka adalah lelaki dan 75 peratus daripadanya adalah Melayu, dengan 37 peratus daripada mereka menganggur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Dalam pada itu, Ayob berkata, daerah Pendang di Alor Setar masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di seluruh negara iaitu 1,798 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini,” katanya.

BACA JUGA Anggota bomba di Kelantan buat komen jelik politik berdepan tindakan