Jika tiada apa nak disorok Pas patut benarkan Razman jawab isu ladang babi

Pas digesa untuk memberi ruang kepada ADUN Gunong Semanggol, Razman Zakaria menjawab secara terbuka mengenai kontroversi ladang babi di Kampung Tanjung Keramat yang dimainkan parti itu pada kempen di Ayer Kuning.

Pada 2020 hingga 2022, Razman merupakan EXCO Pertanian Negeri Perak yang secara langsung memegang portfolio berkaitan penternakan, termasuk isu ladang babi.

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh berkata, selepas terdedah bahawa Razman yang bertanggungjawab dalam isu ini semasa pentadbiran PN, pemimpin Pas itu tidak diberikan ruang untuk bercakap kepada media.

“Kini, apabila isu ini dibangkitkan semula oleh Pas, kami difahamkan Razman sendiri tidak diberi ruang bercakap kepada media malah diletakkan di belakang tabir sepanjang kempen PRK Ayer Kuning.

“Oleh itu, kami menggesa Pas supaya memberi laluan kepada Razman untuk sekali sahaja tampil dalam sidang media, dan jawab dengan jujur semua persoalan ini,” katanya dalam satu kenyataan media pagi tadi.

Ketika ditanya media pada 2021, Razman menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh tergesa-gesa kerana penternak telah melabur jutaan ringgit untuk mengurangkan masalah bau.

Salman berkata kenyataan itu jelas memperlihatkan keengganan untuk bertindak, sekaligus mendedahkan sikap pasif beliau terhadap isu yang kini cuba dijadikan alat kempen politik.

“,Kalau tiada apa-apa hendak disorok, beri ruang kepada Razman untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan ini,” ujarnya.

BACA JUGA Empat negeri PN paling tinggi kes dadah, Kelantan paling teruk

BACA JUGA Kecoh isu ladang babi, tular balik jawapan Razman semasa ditanya media