Pertembungan dalaman Bersatu, cubaan Pas main kayu tiga, dua-dua bercakaran di Perak
Setiausaha AMANAH Perak Salman Saleh mendedahkan pertembungan dalaman Bersatu Perak, cubaan Pas bermain kayu tiga dan percakaran antara dua parti utama Perikatan Nasional dalam kempen pilihan raya kecil Ayer Kuning.
Pertembungan dalaman yang dimaksudkan melibatkan naib presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang lebih dikenali sebagai Peja dan Adun Sungai Manik Zainol Fadzi.
Faizal Azumu juga pengerusi Perikatan Nasional Perak.
“Pergaduhan antara Datuk Seri Faizal Azumu dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi bukan lagi rahsia. Zainol melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas berlaku perbalahan dengan Faizal, dan semalam secara terbuka melalui satu hantaran di Facebook, menempelak seorang “Mr. P”, yang secara umum difahami ditujukan kepada Faizal sendiri.
“Dalam hantaran tersebut, Zainol menyuarakan kekecewaan terhadap sikap tamak dan perebutan kuasa dalam partinya sendiri.
“Lebih memburukkan keadaan, hari ini Perikatan Nasional Perak menghantar surat rasmi kepada Speaker DUN untuk menukar tempat duduk Zainol dalam Dewan.
“Ini bukan lagi khabar angin, ia pengesahan rasmi bahawa krisis dalaman Bersatu sedang berlaku secara terbuka dan memalukan.
Salman turut mendedahkan pergolakan di dalam Pas dan cubaan Pas untuk bermain kayu tiga ekoran kedudukan Bersatu yang lemah.
“Pas juga bergolak dan tidak ada hala tuju di peringkat kepimpinan negeri. Razman Zakaria ketika ini sedang digantung jawatan Pesuruhjaya Pas Perak kerana tindak-tanduk dan kenyataan fitnah yang mencetuskan ketegangan.
“Keputusan ini memeningkan ahli dan penyokong, dan mencerminkan betapa Pas Perak kini sedang dalam krisis keyakinan dan kepimpinan.
“Jelas sekali, kedua-dua parti utama dalam PN Perak, Bersatu dan Pas sedang bermasalah, bercakaran, dan hilang arah.
“Dalam keadaan gabungan sendiri tidak stabil, bagaimana mereka mahu tampil ke hadapan untuk kononnya membawa kestabilan kepada rakyat Ayer Kuning?
“Lebih mengejutkan, dalam saat Bersatu runtuh, Pas pula ambil pendekatan lunak terhadap Umno. Tidak ada serangan yang jelas, sebaliknya peluru dihala kepada DAP dan AMANAH.
“Penganalisis politik juga mula menyebut, Pas sedang ‘berkira-kira’. Jika perlu berpatah balik, mereka sedia buat apa saja.
“Inilah politik main kayu tiga. Bila kawan goyah, musuh lama pun mula dirayu. Prinsip tidak penting, yang penting kuasa.”
BACA JUGA: PN boleh kehilangan 32 daripada 74 kerusi parlimen sekiranya…