Teknologi nadir bumi: China sanggup tawarkan kepada Malaysia

China sanggup menawarkan teknologi pemprosesan nadir bumi dengan Malaysia dan ini akan menjana lebih nilai berbanding pengeksportan bahan mentah itu.

“Presiden Xi Jinping sendiri dalam mesyuarat semalam (kelmarin) antara Malaysia dengan China, mereka sanggup kongsi teknologi itu.

“Nadir bumi ini satu kurniaan Allah SWT kepada Malaysia. Kalau kita jual secara mentah dan tidak diproses harganya tidak beberapa baik, tetapi kalau sudah diproses hasilnya berlipat kali ganda hingga 10 hingga 15 kali ganda,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional mendedahkan perkara ini ketika meninjau gerak kerja BN di Batu Tiga, Ayer Kuning baru-baru ini.

Xi telah mengadakan lawatan pertamanya ke Malaysia sekal 2014 yang turut menyaksikan 31 memorandum persefahaman ditandatangani.

Pemimpin Umno tersebut turut menyatakan bahawa China mahu mempercepatkan proses Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN FTA) yang akan memperkukuhkan perdagangan intra ASEAN yang hanya kurang daripada 25 peratus sekarang.

“Kita nak supaya kita berdagang sesama sendiri… Kita (Malaysia) akan menjadi pemudah kepada China, sebab negara China boleh memberikan teknologi dan pasaran. Ini akan melonjakkan hasrat negara-negara ASEAN untuk meningkatkan peratusan dagangan sesama sendiri,” katanya.

Mohamad berkata Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang dijadual berlangsung di Malaysia pada 27 Mei ini dijangka merangka pelan strategik bagi menghubungkan tiga blok ekonomi utama dalam usaha membentuk rantaian perdagangan serantau yang kukuh.

BACA JUGA: Ramai ragu hasrat Terengganu bina “Terengganu Petroleum”