Bukan tawaran kecil, China sedia kongsi teknologi proses nadir bumi
China telah mengumumkan perkara yang mengejutkan apabila bersedia untuk berkongsi teknologi pemprosesan nadir bumi dengan Malaysia.
Mengulas kesediaan kuasa besar dunia itu, penganalisis ekonomi Nazri Hamdan berpendapat ia bukan tawaran yang kecil memandangkan nadir bumi adalah komponen penting dalam pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV), cip elektronik, sistem radar dan pelbagai lagi teknologi moden.
“Ini pengumuman yang sangat penting. Banyak potensi yang boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan kita untuk nadir bumi.
“Tapi dalam masa sama juga ada risiko tersembunyi yang kita kena hati-hati.
“Kalau guna analogi, selama ini kita jual kelapa tapi sekarang kita ada peluang bina kilang santan dan minyak kelapa yang premium,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan menjana lebih nilai berkali ganda berbanding mengeksport mineral itu secara mentah.
“Apa kelebihan besar yang kita dapat? Peningkatan nilai eksport dan industri.
“Contoh, 1,000 tan nadir bumi (secara mentah) setahun, jual pada harga RM2,000 satu tan, hasilnya cuma RM2 juta.
“Tapi kalau kita proses dan jadikan produk separa siap, harganya boleh naik kepada RM20,000 bagi satu tan. Jadi, nilai eksport sudah cecah RM20 juta.
“Jumlah ini hanya kita dapat buat kalau ada teknologi pemprosesan dalam bidang ini,” katanya.
Walau bagaimanapun, Nazri mengingatkan risiko yang perlu Malaysia lihat dengan teliti iaitu pencemaran.
“Teknologi pemprosesan nadir bumi ini kalau tidak dikawal rapi boleh hasilkan sisa toksik yang rosakkan tanah dan sumber air.
“China sendiri sebenarnya pernah mengalami krisis alam sekitar akibat perlombongan yang agresif,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia dapat memastikan teknologi yang dikongsi benar-benar bersih dengan pemantauan alam sekitar yang telus dan tegas.
“Contohnya, jika satu kilang itu proses 500 tan sebulan tetapi kawal sisa, kesannya boleh rosakkan sungai dalam radius 10 kilometer.
“Jadi perkara ini tidak berbaloi dari segi kesan terhadap alam sekitar,” tambahnya lagi.
Pada 16 April lalu, Presiden China, Xi Jinping dalam mesyuarat antara Malaysia dengan China menyatakan mereka sedia berkongsi teknologi pemprosesan nadir bumi dengan negara ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas turun padang meninjau gerak kerja jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga, Tapah.
Mohamad berkata, nadir bumi yang sudah diproses hasilnya akan berlipat kali ganda hingga 10 hingga 15 kali ganda.
Sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara Malaysia dan China terhasil sepanjang lawatan negara presiden Xi selama tiga hari di negara ini.
BACA JUGA Lawatan Xi Jinping dirancang lebih awal di sebalik geopolitik, ekonomi mencabar