Cucu merungut PM jarang di rumah, ini tindakan Anwar

Tindakan Perdana Menteri membawa beberapa cucunya ke pejabat di Perdana Putra, Putrajaya menarik perhatian orang ramai.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka sebelum ini merungut kenapa beliau jarang berada di rumah.

“Depa tak tau tugas untuk negara tidak mudah.

“Lantaran itu saya bawa depa mai pejabat tengok saya bekerja,” katanya menerusi muat naik di Facebook hari ini.

Jadual Perdana Menteri sejak beberapa minggu lalu padat dengan pelbagai program di dalam dan luar negara.

Beliau menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor ASEAN (AFMGM) ke-12 di ibu negara, selain beberapa program dalam negara.

Pada 15 April lalu, Anwar menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping yang melawat Malaysia selama tiga hari.

Kemudiannya, beliau berangkat ke Bangkok bagi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala.

Perdana Menteri turut bertemu Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than.

Pertemuan itu ke arah penyelesaian konflik di negara dan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi di Myanmar.

Semalam, Anwar berada di Kuching bagi menghadiri Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak di Stadium Perpaduan.

BACA JUGA Heboh lagi isu Jalur Gemilang ‘hilang’ bulan sabit, Fahmi serah pihak polis siasat