Tidak hadir untuk menekan, PMX anggap iltizam ini atas nama keluarga besar Asia
Perdana Menteri menyifatkan lawatan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini bukan untuk menekan sebaliknya demi menautkan hubungan persahabatan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan melakukan sebaik mungkin usaha dalam memelihara persahabatan sejati Malaysia dan China atas nama keluarga besar Asia dan Asean demi kekuatan dan kestabilan rantau.
“Penghargaan setingginya kepada Presiden Xi Jinping yang memetakan Malaysia dalam kunjungan yang tidak kecil maknanya terutamanya kini di era yang mengasak ke arah kekacauan dan keberantakan.
“China tidak hadir untuk menekan tetapi untuk bertaut ikatan yang sedia terjalin kurun lamanya, selain meneroka ruang serta peluang baru untuk memperkuat persahabatan.
“Di pihak Malaysia, kita akan lakukan sedaya mungkin untuk menyemangati maksud dan iltizam ini atas nama keluarga besar Asia dan Asean demi kekuatan dan kestabilan rantau,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial beliau malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsikan klip video berdurasi tiga minit yang memuatkan sedutan ucapan beliau diikuti Xi.
Presiden China berkenaan mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, yang berakhir pada 17 April lalu, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013.
Pada 16 April lalu, Anwar dan Xi menyaksikan pemeteraian 31 MoU dan pertukaran nota yang membabitkan kerjasama antara kementerian dan agensi kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
BACA JUGA Teknologi nadir bumi: China sanggup tawarkan kepada Malaysia