‘Al kisah Hanayo…’, nukilan peribadi Azizulhasni Awang jadi perhatian
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan penghargaan peribadi buat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang dianggap sebagai penyokong terbesar di belakangnya.
Menerusi coretan “Al kisah Hanayo” di Instagram, Azizulhasni terkenang kembali saat beliau berada di titik paling terendah selepas tewas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Tidak ramai pada waktu itu betul-betul bersama dengan beliau dan pasukannya namun masih ada beberapa insan yang betul-betul berdiri teguh bersamanya dan antara insan tersebut adalah Hannah Yeoh.
“Seperti kebiasaan, selepas selesai perlumbaan kami semua akan sibuk mengemas segala kelengkapan untuk dibawa terbang pulang pada esoknya.
“Akan tetapi Hanayo antara yang sanggup gigih menunggu semata-mata ingin memberikan sokongan moral kepada kami semua.
“Penerbangan pulang dari Paris ke Malaysia mengambil satu durasi yang amat panjang. Namun ianya memberikan ruang kepada saya untuk meluangkan masa bersama Hanayo untuk berdiskusi tentang pelbagai perkara.
“Waktu itu Hanayo banyak memberikan nasihat dan cadangan apa yang boleh saya pertimbangkan untuk masa hadapan.
“Ketika deep talk tersebut segala nasihat yang disampaikan adalah lebih seperti nasihat daripada seorang kakak yang sangat prihatin kepada adiknya,” coretnya.
Azizulhasni berkata, sebelum kepulangannya ke Malaysia, Hannah Yeoh sempat memberi nasihat untuk bertemu terus dengan keluarga kerana beliau faham pengorbanan yang dilalui jaguh trek itu sekeluarga.
“Mungkin kerana Hanayo sendiri adalah seorang ibu yang baik jadi mudah untuk beliau memahami secara dalam akan proses yang kami sekeluarga tempuhi.
“Azizul, saya cadangkan awak balik berjumpa dengan isteri dan keluarga dahulu, ambil masa untuk berfikir apakah yang kamu ingin buat dimasa hadapan. Whatever your decision, i will always support it, you don’t need to feel that, you have done enough for the country”.
“Selepas satu jangka masa menyendiri, saya hadir kembali untuk meneruskan perbincangan bersama Hanayo dan beberapa pihak yang lain,” katanya lagi.
Selepas membuat keputusan yang amat berat, Azizulhasni mengumumkan beliau akan bergerak sendirian secara professional dan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hannah Yeoh di atas segala sokongan kepada diri beliau sebagai seorang atlet dan juga sebagai seorang insan.
BACA JUGA Penyokong Pas boleh dah tolak tawaran haji, beri ruang kepada bakal jemaah lain