Bekas ahli Pas tak setuju ‘dalil’ menangkan politik lebih penting dari tunai haji

Seorang bekas ahli Pas tidak bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai keutamaan mengundi pada pilihan raya berbanding menunaikan haji dan umrah.

Menurut Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menunaikan ibadah haji adalah Fardhu Ain bagi setiap umat Islam, manakala mengundi parti politik ketika pilihan raya adalah fardhu kifayah.

Maka kata beliau, apabila bertembung antara kewajipan Haji yang Fardhu Ain dengan kewajipan mengundi yang Fardhu Kifayah, umat Islam perlu mengutamakan ibadah Haji yang wajib.

“Penglibatan setiap individu dalam pilihan raya di Malaysia adalah Fardhu Kifayah bukannya Fardhu Ain.

“Melainkan jika satu ketika nanti hukum mengundi menjadi Fardhu Ain dengan maksud setiap orang wajib mengundi dan sesiapa yang tidak mengundi hukumnya adalah berdosa.

“Suasana itu memerlukan Fatwa oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti sebagaimana Fatwa Jihad menjadi Fardhu Ain pada ketikanya hendaklah difatwakan oleh pihak berautoriti agama,” katanya.

Susulan itu beliau mencadangkan agar ‘fatwa’ Presiden Pas pada situasi masa ini mesti dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat semasa.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ceramah kempen Perikatan Nasional (PN) seolah memberi gambaran supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik dan menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

BACA JUGA Malaysia dijangka mampu tangani impak tarif Trump lebih baik berbanding negara serantau