Dua anggota bomba buat komen jelik masih disiasat
Siasatan terhadap dua anggota bomba yang dikesan membuat komen jelik menerusi media sosial masing-masing masih dijalankan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad, pemantauan juga dijalankan terhadap akaun media sosial dua anggota itu sebelum sebarang tindakan dibuat.
“Kedua-dua mereka masih bekerja seperti biasa. Namun, kita pantau media sosial mereka untuk siasatan lanjut sebelum ambil sebarang tindakan.
“Sebelum ini, seramai 18 anggota sudah menerima surat peringatan manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan kerana melanggar etika penggunaan media sosial,” katanya dalam sidang media, di Kota Bharu, hari ini.
Beliau turut menjelaskan komen jelik bukan hanya tertumpu kepada yang bersifat politik dan menyentuh isu 3R tetapi juga berbentuk peribadi, contohnya tidak puas hati dengan rakan setugas atau mengulas tingkah laku mana-mana individu lain.
Pada 17 April lalu, Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan dalam sidang media memaklumkan seorang anggota bomba berusia 40-an yang membuat hantaran komen jelik berkaitan politik di media sosial bakal dikenakan tindakan.
BACA JUGA ‘Beri penjelasan kenapa pampasan Kg Sg Baru rendah’