Lagi indikator positif ekonomi kerajaan MADANI, ringgit melonjak ke paras tertinggi enam bulan

Ringgit melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh hampir enam bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Rekod pada sesi penutup hari ini mencecah paras 4.36 Ketika dunia bimbang dengan tarif yang dikenakan AS.

Lapor Bernama, ringgit pada 6 petang tadi melonjak kepada 4.3670/3735 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4100/4175 sebelumnya.

Sebelum ini pada 28 Oktober 2024, ringgit mencecah paras tertinggi pada 4.3605/3640 ketimbang dolar AS.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS di tengah-tengah ketidaktentuan yang memuncak berhubung isu tarif.

“Nampaknya penggubalan dasar AS yang tidak konsisten serta tindakan yang mencetuskan kemarahan sekutunya telah menyebabkan sentimen lemah dalam pasaran aset AS.

“Dalam erti kata lain, keadaan sukar dan tidak menentu sekarang telah menyebabkan ramai yang mula mengurangkan pergantungan terhadap dolar, seperti yang dilihat menerusi penurunan pegangan asing dalam bon Perbendaharaan AS dan hasil Perbendaharaan AS yang rendah,” dipetik Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata, ringgit dijangka terus mengukuh dalam tempoh terdekat ini dengan paras sokongan segera ketika ini berada pada RM4.36.

BACA JUGA Tubuh jawatankuasa khas tangani kes ceroboh tanah, ini cadangan ADUN DAP