Nik Abduh pula ‘petik’ nama bapa tangguh haji jika ada pilihan raya

Pemimpin Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dilihat ‘memetik’ nama Allahyarham bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Mursyidul Am Pas berhubung isu ibadah haji yang bertembung dengan pilihan raya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, bapanya pernah menyarankan supaya ibadah haji ditangguhkan ke tahun berikutnya jika bertembung dengan pilihan raya.

“Almarhum ayahanda tuan guru adalah antara ulamak kita yang menyarankan ibadah haji dibawa ke depan jika bertembung dengan pilihan raya.

“Mengundi adalah kewajiban umat dalam menjaga agama dan negara.

“Sukalah musuh-musuh agama, tak kira kafir atau munafik, jika mengundi diletakkan dalam darjat kedua, apatah ketiga oleh umat Islam sendiri,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 19 April lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah umrah dan haji.

Berucap dalam ceramah mega sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Hadi berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang

Malah, bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Mengulas lanjut, Nik Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok berkata, mereka yang mempunyai ilmu agama tahu bahawa kewajiban menunaikan ibadah haji sama ada segera atau boleh ditangguhkan merupakan perkara khilaf.

“Maka pandangan para ulamak untuk mendahulukan kewajiban mengundi dan ditangguhkan mengerjakan haji ke tahun-tahun berikutnya adalah ijtihad yang diterima.

“Kekalkan dalam benak fikir anda bahawa mengundi dalam pilihan raya adalah wajib. Ini saya tulis ringkas-ringkas,” tambah Nik Abduh lagi.

BACA JUGA Wajib mengundi masih dalam ‘fardu kifayah’ bukan fardu ain