Wajib mengundi masih dalam ‘fardu kifayah’ bukan fardu ain
Walaupun terdapat qaul yang menyatakan mengundi adalah wajib, namun wajibnya masih dalam “fardu kifayah” bukannya fardu ain.
Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, ini bermakna tuntutan menubuhkan kerajaan adalah wajib, maka mengundi bagi membentuk sebuah kerajaan juga wajib.
“Apabila sebuah kerajaan telah dibentuk melalui mereka yang keluar mengundi dalam pilihan raya, maka kewajipan mengundi tersebut dikira sudah sempurna.
“Sama dengan solat jenazah adalah wajib, tetapi apabila ianya telah dilakukan oleh sebahagian yang lain yang telah mencapai tuntutan solat jenazah.
“Maka, kewajipan itu telah dilaksanakan walaupun ramai lagi yang tidak mengerjakan solat jenazah itu,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah umrah dan haji.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian dalam ceramah mega pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 19 April lalu.
Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Malah, pemimpin Perikatan asional (PN) itu mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
Walau bagaimanapun, seruan Abdul Hadi yang turut menekankan tentang Islam perlu berkuasa itu dilihat mengundang kritikan masyarakat Islam yang menyifatkan Presiden Pas berkenaan hanya menunggang agama demi kemenangan parti sendiri.
BACA JUGA Lagi indikator positif ekonomi kerajaan MADANI, ringgit melonjak ke paras tertinggi enam bulan