Dulu sembang ‘mainlah permainan murah’, kini MB Kedah dah hayun kayu golf

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengundang kritikan dan sindiran orang ramai apabila berkongsikan aksinya bermain golf.

Naib Presiden Pas berkenaan berkongsikan klip video beliau berdurasi 21 saat ketika menghayun kayu permainan itu yang dilihat dilakukannya pada waktu malam.

Menerusi akaun TikTok beliau, difahamkan Sanusi bermain golf sebagai latihan kerana ada pihak membuat pertandingan sukan itu.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengakui tidak biasa bermain golf sebaliknya hanya tahu menggunakan mesin rumput.

Dema nak buat pertandingan golf pulak…

“Kita ni tak besa katok kayu golf. Mesin rumput gheti la. Mari la belaja katok. Sat bola ghi kiri, sat bola ghi kanan. Cara tak besa, gitu laa dey..,” tulisnya dalam loghat Kedah.

Sanusi Md Nor

Untuk rekod, golf secara umum dikenali sebagai sukan mewah memandangkan yuran keahlian kelab boleh mencecah ribuan ringgit setahun.

Peralatan golf seperti set kayu golf, kasut khas, dan bola juga adalah mahal serta yuran bermain (green fee) di padang golf juga tinggi terutama di kelab eksklusif.

Rata-rata netizen menempelak Sanusi, 50, yang disifatkan cakap tidak serupa bikin memandangkan sebelum ini beliau pernah menyatakan tidak bermain golf.

“Saya tak main golf tuan-tuan. Saya main ragbi. Bola ragbi murah saja. Satu bola ragbi boleh main 30 orang.

“Jadi, mainlah permainan-permainan yang murah,” katanya dalam sedutan ucapan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan yang tular di media sosial.

Cemuhan terhadap Sanusi juga termasuk membandingkan pemimpin Pas itu dengan wakil rakyat DAP yang belum pernah nampak pula mereka bermain golf.

“Karaoke pandai, masak pandai, bola pandai, golf pandai. Tambah bini pandai, spin pandai.. MB sempoi…

“Kenyataan dulu akhirnya dah makan diri. Sedarlah Allah dah tunjuk satu demi satu.

“Saya dulu orang susah tuan-tuan, orang miskin! Tapi itu dulu tuan-tuan… sekarang ana masuk parti lebai, bini boleh dua, walaun-walaun pun sayang saya,” demikian antara sindiran netizen di ruangan komen TikTok Sanusi.

@sanusimdnor

Dema nak buat pertandingan golf pulak… Kita ni tak besa katok kayu golf. Mesin rumput gheti la. Mari la belaja katok. Sat bola ghi kiri, sat bola ghi kanan. Cara tak besa, gitu laa dey..

♬ original sound – Joan Clouds – Joan Clouds

BACA JUGA Gara-gara sindir PMX bawa cucu ke pejabat, orang ‘kuat’ Isma kena kecam tutup ruang komen