Konflik kepimpinan Bersatu Perak yang meruncing

Konflik kepimpinan Bersatu di Perak begitu teruk sehinggakan timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditugaskan untuk meredakan ketegangan dalaman Bersatu Perak, lapor FMT.

Ia ekoran permintaan pertukaran kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Tindakan Ketua Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menghantar surat kepada DUN untuk meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin menukar kerusi dengan Adun Changkat, Jong Nadziruddin Bandi.

Faizal yang juga dikenali Peja berkata, permintaan menukar kerusi itu disebabkan Nadziruddin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan yang dilepaskan Zainol.

Tetapi, beberapa bahagian Bersatu melihat langkah itu membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan.

Zainol duduk bersebelahan Razman dalam DUN Perak.

Ketua Bersatu Ipoh Timur Fadhli Ismail berkata beliau dan pimpinan bahagian lain berpendapat surat yang dihantar Faizal adalah secara sepihak.

Nadziruddin pula ialah Adun penggal pertama yang baru dilantik sebagai setiausaha Bersatu Perak.

Adun Kuala Sepetang, Ahmad Man, berkata Bersatu Perak mahupun Perikatan Nasional belum mengadakan mesyuarat membincangkan langkah pertukaran kerusi itu.

“Ini soal DUN, bukan isu parti semata-mata,” katanya sambil menambah Adun PAS pada awalnya tidak tahu mengenai cadangan pertukaran kerusi itu.

BACA JUGA: Pertembungan dalaman Bersatu, cubaan Pas main kayu tiga, dua-dua bercakaran di Perak