Isu babi masih jadi modal menjelang PRK DUN Ayer Kuning

Berbaki lagi empat hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Pas dilihat masih istiqamah menunggang isu babi.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan terdapat mereka yang dipaksa berhadapan dengan masalah penternakan binatang itu.

Tanpa secara langsung menyebut kawasan mana yang menghadapi isu yang digelarnya “kebodohan” itu, rata-rata netizen dilihat faham kenyataan Nik Abduh itu berkaitan dengan PRK DUN Ayer Kuning.

“Bersyukurlah kampung kita tiada pencemaran sungai akibat perternakan babi.

“Ada saudara-saudara kita dipaksa berhadapan kebodohan ini,” tulis bekas Ahli Parlimen Bachok berkenaan sebentar tadi di Facebook.

Menjengah ruangan komentar, warganet antara lain mengingatkan bagaimana sikap Pas yang dilihat hanya lantang bersuara apabila sudah tidak mempunyai kuasa di peringkat kerajaan.

Dalam masa sama, ada yang turut menyindir lebih banyak kebodohan apabila mengekalkan Pas dalam pentadbiran negeri dalam tempoh yang Panjang.

“Dulu masa Pas berkuasa, kenapa tak selesai masalah ni?” soal Sofi Ahmad.

“Ye la 33 bulan semasa Pas jadi kerajaan, satu kandang babi pun tak dak. Yang ada babi-babi berak merata,” perli Wazalzil Aqdamahum.

“Pencemaran sungai dan paip air keluar angin sebab kekalkan Pas dalam pentadbiran negeri bertahun-tahun itu lebih dari satu kebodohan. Mungkin sejuta kebodohan,” tempelak Safuan Mohd.

Tidak ‘diusik’

Pada 16 Jun lalu, ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri dalam sidang Dewan Negeri (DUN) berkata, penduduk di Kampung Tanjung Keramat di Ayer Kuning marah dengan penternakan babi di penempatan mereka yang berlaku terlalu lama.

“Cuba bayangkan pagi-pagi mereka hendak pergi ke surau, ke masjid, mereka menghidu bau yang sangat busuk, sedangkan itu kampung mereka,” kata Mohd Hafez yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas.

Susulan itu, Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, semasa Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Perak dari tahun 2020 hingga 2022, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria memegang portfolio sebagai EXCO Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan.

“Portfolio ini secara langsung berkaitan dengan isu penternakan, termasuk ladang babi.

“Namun, sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang tindakan konkrit atau pelan penyelesaian yang dibentangkan oleh YB Razman dan Pas dalam kerajaan untuk menangani isu ladang babi di Ayer Kuning.

“Tiada pelan pemindahan, tiada perancangan penyusunan semula. Malah, isu ini langsung tidak dijadikan keutamaan.

“Boleh dikatakan, sepanjang tempoh tersebut, seekor babi pun tidak ‘diusik’,” tegas Khairol Najib lagi.

BACA JUGA Dulu sembang ‘mainlah permainan murah’, kini MB Kedah dah hayun kayu golf