Terbukti salah negeri Kedah, lunyai saya dimaki konon berdendam
Gara-gara tuduhan Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah kononnya Menteri Ekonomi melengah-lengahkan pembangunan di negeri itu, Rafizi Ramli telah menjadi bahan makian ramai.
Sebelum ini Haim Hilman mendakwa, negeri itu telah begitu lama menunggu kelulusan Notis Perubahan (NoC) dari kementerian ekonomi untuk pembesaran Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park), tetapi belum diluluskan lagi.
Hari ini Rafizi berkata, tuduhan itu terbukti tidak benar apabila kerajaan negeri sendiri telah membatalkan permohonan NoC itu disebabkan kerajaan negeri gagal dalam urusan pembelian tanah untuk projek tersebut.
Kementerian Ekonomi sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM195 juta untuk projek Kulim Hi-Tech Park.
Peruntukan itu hanya boleh dilepaskan kepada kerajaan negeri sekiranya hal pembelian tanah sudah selesai.
Kena maki
Menurut Rafizi, pembelian tanah memang tidak dapat diteruskan kerana pemilik tanah tidak pernah mengesahkan secara bertulis bersetuju menjual tanah.
“Lunyai saya kena maki sebab kononnya berdendam dan memangsakan rakyat Kedah kerana kononnya cuba mensabotaj projek Kerajaan Kedah, iaitu Kulim Hitech Park Fasa 5.
“Saya jelaskan yang saya tidak boleh luluskan selagi tidak dapat pengesahan kesediaan penjual tanah untuk menjual tanah.
“Bila saya jawab balik, barulah Kerajaan Kedah kembali kepada Kementerian Ekonomi. Bayangkan kalau saya pakai luluskan permohonan asal tanpa pengesahan bertulis,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Kata Rafizi, kerajaan negeri Kedah telah membuat permohonan NoC baharu dengan skop tanah berbeza.
Beliau berkata, permohonan baharu itu menyaksikan kos keseluruhan meningkat kepada RM362 juta berbanding RM195 juta sebelum ini.
“Berita baik untuk rakyat Kedah – Kementerian Ekonomi telah luluskan permohonan itu dan KHTP Fasa 5 boleh diteruskan.
“Berita kurang baik untuk rakyat Kedah – agensi Kerajaan Negeri Kedah tambah hutang dari hutang asal RM195 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan, tambah lagi RM180 juta pinjaman yang perlu diusahakan Kerajaan Negeri Kedah sebab kos telah meningkat kepada RM362 juta,” ujarnya.
Kata Rafizi, beliau boleh sahaja menuntut Exco terbabit membuat permohonan maaf kepadanya kerana cuba memburukkan nama Kementerian Ekonomi, namun beliau tidak bercadang berbuat demikian.
Beliau sebaliknya menyarankan Exco itu membuat permohonan maaf kepada rakyat Kedah.
BACA JUGA Rafizi sekolahkan Adun Kedah, projek KHTP tergendala bukan sebab kerajaan