‘Dia kritik boleh, pasal apa kita tak boleh pertikai ijtihad politik Hadi Awang?’
Penyokong tegar Pas memang umum dikenali sangat melenting setiap kali kenyataan politik Tan Sri Abdul Hadi Awang dikritik.
Bahkan, mereka lazimnya mendesak pengkritik untuk segera mengucap dan bertaubat kerana kononnya telah menghina ulama dan agama Islam.
Mengulas sikap taksub terhadap Presiden Pas itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasar Mas, Wan Abd Hadi menegaskan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaa adalah orang politik sekaligus patut boleh dikritik.
“Tan Sri Hadi Awang itu Presiden Pas. Pas ini parti politik. Kita pertikaikan ijtihad politik. Kita tidak pertikai ijtihad agama.
“Kalau Hadi Awang boleh kritik orang lain, kenapa kita tak boleh kritik dia balik?
“Ingat istimewa sangat ke?” bidas Wan Hadi menerusi TikTok beliau.
Bola sepak
Dalam masa sama, pemuda berkenaan memberikan contoh permainan bola sepak di padang sebagai perbandingan.
“Kita main bola di padang yang sama, bola yang sama. Apa kita tak boleh lawan dia (Pas)? Samalah macam main politik.
“Pasal apa kita tak boleh kritik dan pertikai ijtihad politik dia?
“Kenapa dia seorang saja boleh (kritik). Adakah dia maksum sangat?” tempelak Wan Hadi.
Menurutnya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sepatutnya sudah tidak berada dalam kancah politik tanah air sekiranya merasakan diri begitu maksum.
“Lepaskan jawatan dalam politik. Lepaskan jawatan sebagai Presiden. Barulah orang tak kritik dia.
“Orang kritik, tegur dia sikit terus pengikut-pengikut dia suruh kita bertaubat, mengucap, balik kepada agama,” tambahnya.
Sebelum ini, Presiden Pas yang terkenal dengan Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu kerap mengeluarkan kenyataan berbaur ghuluw (melampau) dan fitnah.
Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini pula, Hadi menegaskan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah umrah dan haji.
Dalam ceramah mega kempen pada 19 April lalu, Hadi berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Malah, bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
BACA JUGA Ini sebabnya Nurul Izzah disenarai antara 30 individu berpengaruh