Ini sebabnya Nurul Izzah disenarai antara 30 individu berpengaruh

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’.

“Nurul Izzah Anwar, Pengasas Bersama dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ialah seorang aktivis dasar sosial, penjawat awam, dan bekas ahli Parlimen Malaysia,” menurut Project Syndicate.

Nama anak sulung kepada Perdana Menteri berkenaan tertera di tangga kedua dalam senarai yang dinyatakan sebagai “mengiktiraf suara yang akan membentuk masa depan wacana global”.

Organisasi media global itu berkata, senarai tersebut bertujuan mengiktiraf dan mengetengahkan golongan intelektual yang semakin menyerlah dalam bidang akademik, penggubalan dasar, masyarakat sivil dan sektor swasta.

Jelas pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu, kesemua mereka terbabit dalam pelbagai isu penting daripada perubahan iklim dan geopolitik sehingga berkait demokrasi liberal dan masa depan kapitalisme.

“Setiap peserta terdiri pemimpin dalam bidang masing-masing, dan kami percaya pandangan mereka bukan sekadar membentuk wacana awam di negara masing-masing, malah turut memberi impak besar di peringkat global pada masa akan datang,” kata Project Syndicate menerusi laman web mereka.

Antara turut tersenarai adalah Profesor Undang-Undang Kesatuan Eropah di HEC Paris, Alberto Alemanno; Penolong Profesor di Universiti Navarra, José Azar; Profesor Undang-Undang di Universiti California, Irvine, Mehrsa Baradaran dan Profesor Undang-Undang di Universiti Chicago, Aziz Z. Huq.

BACA JUGA Potensi blockchain Malaysia, lihat PM Anwar bincang dengan siapa