Potensi blockchain Malaysia, lihat PM Anwar bincang dengan siapa
Mungkin ramai tidak tahu Binance ialah bursa mata wang kripto terbesar di dunia serta peneraju dalam pembangunan teknologi blockchain.
Rupanya pengasas Binance, Changpeng Zhao (CZ) kelahiran Jiangsu, China telah bertandang di Putrajaya.
Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemilik ijazah dalam bidang sains komputer dari McGill University, Kanada itu untuk membincangkan potensi negara ini sebagai hab utama dalam aset digital dan industri blockchain yang semakin berkembang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan berterusan bersama agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Digital.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan mereka diharap dapat meneroka kaedah memudah cara dan mempromosi inovasi yang bertanggungjawab.
“Pada masa sama, jelas bahawa kepimpinan kerajaan adalah penting dalam memacu penggunaan blockchain seperti melalui pendigitalan dan meneroka tokenisasi instrumen kewangan dan kes penggunaan lain.
“Dengan langkah yang betul, Malaysia boleh meletakkan diri di barisan hadapan dalam transformasi digital global,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.
Untuk rekod, CZ telah membangunkan sistem perdagangan berprestasi tinggi semasa bekerja di syarikat-syarikat kewangan besar seperti Tokyo Stock Exchange dan Bloomberg Tradebook.
Sebelum menubuhkan Binance, CZ pernah menjadi Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di OKCoin dan terlibat dalam pembangunan dompet mata wang kripto.
Binance kemudian ditubuhkan CZ pada Julai 2017 dan dalam tempoh beberapa bulan sahaja, ia menjadi bursa mata wang kripto terbesar di dunia.
BACA JUGA Selepas Rafizi akui lunyai kena maki, boleh pula Exco Kedah komen sinis begini