Lebih 2,000 wanita B40 bakal terima latihan kemahiran digital

Oleh A. ZAHID

Wanita merangkumi hampir separuh daripada 36 juta penduduk Malaysia. Namun, sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanyalah sekitar 14%.

Angka ini bukan sekadar statistik – ia adalah cerminan potensi besar yang masih belum dimanfaatkan dan peluang yang masih belum dinikmati oleh jutaan wanita di negara ini.

Peranan gender tradisional, kekangan budaya, kos penjagaan anak yang tinggi dan diskriminasi di tempat kerja telah membelenggu ramai wanita untuk menyertai dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Ramai yang terperangkap di antara impian dan tanggungjawab, antara keinginan untuk berdikari dan realiti yang membataskan. Halangan-halangan ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

Kebebasan ekonomi

Dengan semangat untuk mengubah naratif ini, lebih 2,000 wanita daripada golongan B40 bakal menerima manfaat melalui EmpowerHER Digital.

Program nasional ini memberi fokus kepada latihan kemahiran digital, kewangan dan keusahawanan – sebagai langkah konkrit ke arah kebebasan ekonomi dan sosial untuk wanita.

Berlangsung di Menara Maxis, program dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dengan kerjasama Digital Nasional Berhad (DNB), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Maxis Berhad.

Gobind Singh Deo

Menurut Gobind, EmpowerHER Digital bukan sahaja platform pembelajaran, tetapi juga simbol keadilan dan harapan.

“EmpowerHER Digital melengkapkan wanita dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya, sama ada dalam memasarkan produk secara dalam talian, mencipta kandungan yang menarik, atau mengurus kewangan dengan berkesan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut menekankan pentingnya usaha berterusan untuk memastikan tiada wanita yang tertinggal dalam arus pembangunan digital negara, terutamanya komuniti berpendapatan rendah yang sering kali terpinggir.

Turut menampilkan bengkel interaktif, EmpowerHER Digital mewujudkan sesi perkongsian usahawan wanita, serta pendedahan kepada Geran Digital PMKS Madani, yang disediakan kerajaan dengan Maxis sebagai rakan digitalisasi bertauliah.

Peserta bukan sahaja memperoleh latihan dan alat digital bersubsidi, malah menerima bimbingan berterusan dan pendidikan kewangan bagi menjamin impak yang mampan, walaupun selepas program berakhir.

Dengan kerjasama berterusan antara kerajaan dan industri, EmpowerHER Digital akan diperluaskan ke seluruh negara – membawa bersama semangat bahawa setiap wanita, tanpa mengira latar belakang, berhak kepada peluang yang sama untuk berjaya.

“Saya berasa terharu melihat anda semua, wanita yang anggun dan bersemangat kental dari latar belakang yang berbeza, di sini untuk menyokong satu sama lain dan membuat perbezaan dalam kehidupan masing-masing.

“Kita teruskan usaha kita secara bersama demi menggarap kejayaan yang lebih besar dan bermakna,” ujar Gobind.

BACA JUGA Potensi blockchain Malaysia, lihat PM Anwar bincang dengan siapa