Selepas Rafizi akui lunyai kena maki, boleh pula Exco Kedah komen sinis begini

Seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah secara sinis memberi respons susulan penafian Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kelulusan projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5.

Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra malah menempelak Rafizi sebagai berlagak jaguh selepas menuduh kononnya menteri berkenaan sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan Notis Perubahan (NoC).

“Tersenyum saya melihat gelagat seorang menteri di Putrajaya sana, lagak jaguh di media sosial sambil memutar belitkan isu.

“Ironinya, formula yang digembar-gemburkan sejak dahulu pun belum terbukti mampu menyelesaikan isu-isu ekonomi yang semakin menghimpit rakyat..,” perlinya menerusi hantaran Facebook malam tadi.

Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut berkongsikan paparan satu laporan berita dengan nama dan wajah Menteri Kabinet Kerajaan MADANI berkenaan ‘ditutup’.

Rafizi Ramli

Terdahulu, Rafizi menuntut Haim Hilman tampil memohon maaf kepada rakyat Kedah selepas menuduh permohonan kelulusan NoC sengaja dilengah-lengahkan.

Menarik balik

Jelas Rafizi, projek KHTP telah diluluskan selepas kerajaan negeri Kedah menarik balik permohonan asal dan mengemukakan permohonan baharu.

Menurutnya, Kementerian Ekonomi bersikap terbuka sejak dari awal dan hanya menunggu pengesahan bertulis daripada tuan tanah sebelum mempertimbangkan permohonan asal.

“Lunyai saya kena maki sebab kononnya berdendam dan memangsakan rakyat Kedah kerana cuba mensabotaj projek kerajaan negeri.

“Padahal, permohonan asal tiada dokumen pengesahan tuan tanah setuju jual tanah.

“Bayangkan kalau saya luluskan tanpa dokumen penting itu,” kata Rafizi dalam satu hantaran video semalam.

Penjelasan Rafizi itu selepas Haim Hilman dalam beberapa kenyataan di media sosial menuduh Kementerian Ekonomi sengaja melengahkan kelulusan projek KHTP Fasa 5 hingga menjejaskan pembangunan di Kedah.

Tidak cukup dengan itu, Haim Hilman mendakwa Rafizi sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek baharu untuk pembangunan negeri Perikatan Nasional (PN) itu.

Ekoran tuduhan Haim Hilman yang tular di media sosial, Rafizi dan kerajaan dihujani makian terutamanya daripada kalangan penyokong taksub Pas.

BACA JUGA Terbukti salah negeri Kedah, lunyai saya dimaki konon berdendam