Bahana guna AI: KPM sedang siasat terperinci insiden Jalur Gemilang ‘pelik’

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua pihak terlibat atas kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Menerusi kenyataan permohonan maaf, KPM memaklumkan kecuaian tersebut tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

“Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan.

“Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan,” menurut KPM hari ini.

Terdahulu, terdapat beberapa imej janaan kecerdasan buatan (AI) memaparkan kesalahan pada bendera Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kesalahan yang dikesan itu antaranya pada muka surat 14 dan 15 yang memaparkan imej pelik Jalur Gemilang dengan dua bintang selain jumlah bucu pada bintang tidak tepat.

BACA JUGA Inilah hasrat orang Kg Sg Baru, tak mahu lagi lalu sarang penagih