Ini rupanya antara faktor 1,789 calon SPM 2024 gagal semua mata pelajaran

Seramai 1,789 atau 0.5 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam semua mata pelajaran termasuk subjek Bahasa Melayu atau Sejarah, sekali gus tidak layak mendapat sijil.

Jumlah itu meningkat berbanding SPM 2023 dengan jumlah bilangan pelajar gagal semua mata pelajaran 1,467 calon atau 0.4 peratus.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, berkata KPM memandang serius perkara itu walaupun secara keseluruhan, SPM 2024 menunjukkan peningkatan signifikan pencapaian akademik pelajar.

Umumnya, jelas beliau, antara punca segelintir calon gagal semua mata pelajaran dalam SPM 2024 adalah tidak fokus kepada proses pembelajaran termasuk ada yang bekerja pada waktu malam terutama di bandar.

Menurutnya, analisis awal KPM mendapati ada juga segelintir calon menghadapi isu berkaitan literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal.

Selain itu, wujud juga faktor kurangnya sokongan dari segi persekitaran pembelajaran di rumah.

“Itu sebab saya sebut, (isu) kekeluargaan beri kesan kepada pencapaian murid,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di KPM di Putrajaya, hari ini.

Mengulas langkah sedang dilaksanakan, Azman berkata, antaranya memperkukuh program pemulihan berkaitan keupayaan murid bagi mendepani SPM 2025.

“KPM turut melakukan persediaan lebih awal bagi memastikan isu kegagalan murid ini tidak menjadi isu berulang pada masa akan datang,” kata Azman lagi.

BACA JUGA Ulama Pas ini akhirnya diperintah bayar RM10,000, mohon maaf kepada Rayer di mahkamah