Kes pemuda dibelasah hingga lunyai: ‘Bella’, 7 lelaki dituduh esok
Kes seorang pemuda yang dibelasah beramai-ramai sehingga lunyai hingga tular di media sosial akan mula diadili di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.
Tujuh lelaki dan seorang wanita dikenali sebagai ‘Bella’ yang ditahan polis bagi membantu siasatan akan dikenakan pertuduhan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, semua suspek yang berusia 19 hingga 26 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Esok pagi semua OKT (orang kena tahan) akan dituduh,” katanya ringkas memaklumkan perkembangan kes terbabit.
Pada 21 April lalu, semua suspek ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang.
Kesemua mereka diberkas selepas disyaki terlibat memukul seorang pekerja kilang di Kluang sehingga separuh mati pada 18 April lalu sebelum video perbuatan kejam mereka tular di media sosial.
BACA JUGA Ulama Pas ini akhirnya diperintah bayar RM10,000, mohon maaf kepada Rayer di mahkamah