Saya datang sebagai tetamu bukan artis undangan berbayar – Siti Nurhaliza perjelas
Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuat penjelasan mengenai spekulasi kehadiran beliau ke majlis rumah terbuka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau yang mesra dengan panggilan TokTi berkata, kehadirannya adalah sebagai tetamu dan bukan sebagai artis jemputan untuk membuat persembahan.
Menurutnya, persembahan nyanyian pada malam tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada warga KKM dan tidak melibatkan sebarang bayaran.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam (kelmarin),” katanya dalam satu perkongsian dimuat naik di Instagram Story.
Tegasnya, beliau tidak meminta sebarang bayaran atas persembahan itu kerana ia dilakukan dengan rela hati.
Dengan penjelasan yang diberikan, beliau berharap ia dapat menokhtahkan sebarang penulisan tidak benar mengenainya.
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran. Saya datang sebagai tetamu dan saya datang menyanyi dengan rela hati.
“Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” ujarnya lagi.
Terdahulu KKM menerima kritikan dari pengguna media sosial susulan penganjuran majlis sambutan Hari Raya besar-besaran di kementerian itu.
Kehadiran Siti Nurhaliza dan raja pop, Datuk Jamaluddin Abdillah menambah lagi tanda tanya ramai mengenai kos perbelanjaan dikeluarkan KKM untuk majlis berkenaan.
Jamal telah menjelaskan kehadiran beliau adalah untuk memenuhi jemputan daripada ketua setiausaha kementerian itu yang juga sahabatnya.
Dia tidak menetapkan sebarang bayaran dan bersetuju membuat persembahan sebagai tanda penghargaan.
BACA JUGA Rombakan kabinet pada bulan Disember kerana apa?