SOP baharu penganjuran konsert muzik demi bendung masalah dadah wajar dipuji

Pendekatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan garis panduan penganjuran konsert muzik wajar dipuji kerana memberi penekanan kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, melalui garis panduan yang lebih ketat dan tersusun, penganjur kini dipandu dengan lebih jelas untuk memastikan sesebuah acara tidak menjadi ruang kepada aktiviti negatif, sebaliknya menjadi wadah memperkasa bakat dan ekspresi seni secara sihat dan bermaruah.

“Saya menyambut baik pengumuman lima garis panduan baharu oleh YB KBS berkaitan penganjuran konsert muzik dan tarian sebagai satu langkah proaktif dan bertanggungjawab dalam memastikan industri hiburan di Malaysia berkembang dalam kerangka keselamatan, nilai dan integriti.

“Dalam masa yang sama, kami berharap pelaksanaan SOP ini turut mengambil kira pandangan para penggiat seni dan budaya agar keseimbangan dapat dicapai antara kawal selia dan kebebasan berkarya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Anwar berkata, Malaysia memiliki khazanah seni dan budaya yang amat bernilai, justeru sebarang dasar berkaitan industri kreatif perlu dirangka dengan sensitiviti terhadap kepelbagaian budaya serta keperluan untuk ruang ekspresi yang inklusif dan progresif.

“Langkah KBS ini, sekiranya dilaksanakan secara telus dan konsisten, mampu menjadi model rujukan kepada negara serantau dalam menstruktur semula ekosistem hiburan yang lebih selamat, beretika dan sejajar dengan aspirasi belia Malaysia,” ujarnya lagi.

Terdahulu KBS memperkenal lima prosedur operasi standard (SOP) baharu penganjuran konsert khususnya bagi muzik tari elektronik (EDM).

Hannah Yeoh berkata usaha dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu adalah sebagai langkah proaktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia selain memastikan aktiviti hiburan berlangsung dalam persekitaran selamat.

SOP berkenaan adalah mewujudkan ‘Hydration Point‘ bagi mengatasi keadaan dehidrasi, menyediakan pasukan perubatan untuk kes kecemasan serta treler mesej sama ada poster atau video mengenai bahaya dadah dan tindakan yang perlu dilakukan oleh orang terdekat semasa berlakunya kecemasan.

Selain itu, hospital berdekatan perlu siap siaga untuk mengendalikan mangsa sekiranya berlaku insiden semasa konsert dan penempatan unit anjing pengesan bagi kawalan keselamatan.

BACA JUGA Penasihat Pak Lah cerita bagaimana pihak minta pengaruhi hakim agar Anwar kekal di penjara