Amerika kenakan tarif timbal balik, apa Malaysia buat?

Unjuran pertumbuhan negara sedang disemak semula dalam keadaan ekonomi negara berdepan tarif timbal balik Amerika.

Pada masa sama Menteri Kewangan II Senator Datuk Amir Hamzah Azizan berharap rundingan perdagangan dengan Amerika akan berlangsung secara adil.

Kerajaan sedang mengkaji semula unjuran pertumbuhan rasmi negara yang diunjurkan pada 4.5% hingga 5.5% untuk tahun ini selepas Amerika mengenakan levi pada awal bulan ini, lantas menybabkan ketidaktentuan untuk pelaburan dan perdagangan, kata Amir.

“Apa yang berlaku tiga minggu kebelakangan ini adalah lebih sukar berbanding jangkaan orang,” katanya dalam satu temuramah di sesi mesyuarat IMF-Bank di Washington semalam, lapor Bloomberg.

“Ada kemungkinan perdagangan dunia menurun. Soalnya, berapa banyak?”

Amir menyatakan kerajaan juga menyemak semula unjuran ekonomi dan akan mengumumkannya dalam bulan yang mendatang.

Kadar pertumbuhan Malaysia lebih perlahan dari jangkaan dari dalam suku pertama, sebelum Amerika mengumumkan tarif ke atas rakan negara dagang.

IMF menjangkakan ekonomi Asra Tenggara berkembang sebanyak 4.1% tahun ini.

Malaysia akan memulakan rundingan perdagangan dengan Amerika pada hari Khamis minggu hadapan dalam usaha mengelakkan tarif timbal balik sebanyak 24% yang telah dibekukan selama 90 hari.

Hujahan kepada Amerika

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Tengku Zafrul Aziz dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Jamieson Greer.

Perwakilan Malaysia dijangka membentangkan peranan penting negara dalam rangkaian pembekalan global, terutamanya semikonduktor dan syarikat Amerika yang menghasilkan produk di Malaysia, kata Amir.

Amir turut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika tetapi defisit dalam dagangan perkhidmatan.

“Kita perlu bersedia untuk melihat apa yang boleh, selagimana ia tidak menggangu struktur ekonomi negara,” katanya sambal mengakui kesukaran untuk menidakkan kelompangan dalama perdagangan.

Malaysia bersedia berdepan dengan penurunan dalam pertumbuhan, memandangkan ada ruang dalam perbelanjaan fiscal dan peningkatan pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan.

Meskipun terdapat penurunan dalam harga minyak, negara ini tegas meneruskan rancangan subsidi petrol pada pertengahan tahun ini di mana hanya golongan T15 yang akan membayar harga pasaran.

Amir berkata kordinasi serantau dan perdagangan boleh dipertingkatkan lagi. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan akan meningkatkan usaha ke arah memberi balasan serantau di peringkat Asean terhadap tarif Amerika.

BACA JUGA: Tarif timbal balik: PM akan beri penjelasan dalam sesi parlimen khas