BN tiada masalah besar kekal kerusi DUN Ayer Kuning – Ilham Centre

BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) esok, menurut Ilham Centre.

Firma penyelidikan itu berpendapat persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi seperti diumum Menteri Besar Perak.

“Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” jelasnya menerusi kenyataan hari ini.

Pemerhatian selama dua minggu kempen di Ayer Kuning, Ilham Centre menyifatkan fokus Utama di pihak Perikatan Nasional (PN) adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15.

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar.

“PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO,” ujarnya.

Penanda aras kritikal

Sehubungan itu, Ilham Centre berpendapat PRK kali ini menjadi medan penting untuk menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN.

Tegasnya, PRK N.48 Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pengaruh sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu.

Dalam masa sama, PRK yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru itu akan menggambarkan sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.

Mulai 8 pagi esok, seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan keluar memilih wakil selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

PRK Ayer Kuning adalah PRK ke-11 selepas PRU15 dengan sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka.

Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir akan berentap dengan calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.

BACA JUGA PN terdesak hampiri PRK Ayer Kuning, sambutan Aidilfitri KKM bukan di hotel mewah