PN terdesak hampiri PRK Ayer Kuning, sambutan Aidilfitri KKM bukan di hotel mewah
Angkatan Muda Harapan menyelar tuduhan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kononnya majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) melanggar prinsip reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, tuduhan Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai satu fitnah terang-terangan dan taktik politik terdesak menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Majlis tersebut bukan majlis mewah seperti yang digambarkan, tetapi sambutan dalaman sederhana yang diadakan di kompleks KKM sendiri bukan di hotel atau dewan mahal.
“Lebih penting, kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mila AF adalah secara sukarela tanpa bayaran, manakala Datuk Jamal Abdillah hanya menerima saguhati ringan sebagai tetamu Yayasan Nurjiwa.

“Ini bukan spekulasi, tetapi disahkan sendiri oleh Tok Ti dan Menteri Kesihatan,” tegasnya.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional menjelaskan majlis Aidilfitri pada 22 April lalu meraikan hampir 5,000 warga KKM iaitu barisan hadapan negara yang telah banyak berkorban demi kesihatan rakyat.
“PN mungkin tidak senang melihat sambutan dan penghargaan terhadap Kerajaan MADANI, lalu cuba putar belit fakta demi meraih simpati politik.
“Fitnah ini bukan sahaja menjatuhkan maruah majlis, tetapi memperlekeh pengorbanan petugas kesihatan yang selama ini menjadi benteng utama negara.
“Kalau benar ikhlas mahu membela rakyat, buktikan dengan fakta dan integriti bukan dengan menabur fitnah demi undi,” tegas Ammar lagi.
BACA JUGA Tiada pencemaran dari sembilan kandang babi di Ayer Kuning