Bukan asyik tabur baja, segerakan pulih tanah jamin hasil meningkat

Oleh DR. SUZIE HARYANTI HUSAIN

Kalau saya boleh rombak Dasar Pertanian Negara, saya tak akan mulakan dengan baja. Saya akan mulakan dengan kebenaran.

Kerana pertanian kita hari ini bukan kekurangan input — tetapi kekurangan diagnosis dan keberanian untuk berubah.

A. Realiti pertanian Malaysia sekarang:

→Produktiviti sawah stagnan sejak 2008, walaupun subsidi input mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.

→Bahan organik tanah jatuh lebih 30% dalam dua dekad.

→Lebih 70% input pertanian diimport, menjadikan kita rapuh dari segi ekonomi dan keselamatan makanan.

→Usia petani kini melebihi 60 tahun purata, golongan muda menjauh.

→Tanah kita? Padat, berasid, hilang mikrob – tetapi kita terus tambah input.

→Bank Dunia pernah menyatakan sistem sokongan pertanian Malaysia mahal tetapi impaknya lemah.

→FAO pula menyenaraikan kita sebagai negara berisiko tinggi jika terus bergantung kepada pertanian intensif input.

B. Jika diberi peluang, saya akan rombak dari akar:

Saya tak akan tambah subsidi baja, saya akan rawat tanah, bukan simptom serta saya akan pulihkan integriti dalam sistem — dari dasar hingga ke peringkat ladang.

Pemulihan sebenar

C. Lima polisi transformasi yang akan saya laksanakan:

  1. Audit Kesihatan Tanah Nasional (AKTN)

→Setiap ladang perlu ada rekod pH, bahan organik, mikrob, logam berat dan status kesihatan air. Tak perlu guna data “Sifu Pertanian”.

→ Tanpa “Soil Passport”, tiada kelulusan subsidi.

→ Ini langkah pertama ke arah ketelusan dan pemulihan sebenar.

  1. Tamatkan subsidi buta

→Subsidi hanya untuk petani yang ada pelan pemulihan tanah.

→Dana dipindah kepada input regeneratif: biochar, kompos, EM, tanaman penutup bumi.

→Kita perlu subsidi yang menghidupkan tanah, bukan hanya menampal hasil.

  1. Latih semula semua pegawai dan petani

→Pegawai pertanian mesti jadi penasihat agronomi, bukan jurujual baja terselindung.

→Hari ini, terlalu banyak kes: petani tanya pokok kuning, jawapannya “letak lagi baja”.

→Ada juga yang saran input tertentu kerana ‘komisen jenama’, bukan kerana tanah perlukan.

→Ini bentuk rasuah mikro yang memiskinkan petani dan membunuh tanah perlahan-lahan.

→Pegawai mesti lulus latihan semula berasaskan data tanah.

→ Prestasi mereka dinilai berdasarkan impak sebenar — bukan borang selesai.

  1. Dana Insentif Regeneratif Nasional

→Ganjaran untuk ladang yang tingkatkan bahan organik, kurangkan input sintetik dan aktifkan biodiversiti tanah.

→Ini bukan CSR — ini survival sektor makanan.

→Terbuka kepada agropreneur, koperasi dan ladang komuniti.

  1. Ubah arah R&D dan KPI Polisi

→Berhenti ukur kejayaan dengan “berapa tan/ha” dan “berapa subsidi diberi”.

→KPI baharu: “Berapa % tanah kembali hidup? Berapa petani tak lagi perlukan subsidi?”

→R&D mesti fokus kepada pemulihan tanah, iklim tempatan, saliniti, pH, dan keberkesanan agronomi regeneratif.

D. Saya tidak bercakap kosong

Saya pernah:

→Audit tanah lebih 5,000 hektar sawah, durian dan sawit di Malaysia, Indonesia & Pakistan.

→ Merancang pelan pemulihan ladang untuk koperasi swasta.

→Konsultan rasmi projek air pertanian IADA Seberang Perak — menilai keberkesanan sistem sedia ada.

→Membangunkan SHE™ Framework dan kini merintis Global Soil Intelligence Protocol untuk digunakan oleh institusi dan pelabur ESG.

Saya pernah bantu satu ladang durian 17 ekar yang belanja RM80,000 setahun untuk baja — tapi hasil makin menurun.

Selepas audit tanah dan pendekatan regeneratif:

→ Kos input turun 40%

→Hasil naik 1.5x dalam dua musim

E. Dunia sedang bergerak:

→Thailand dah mulakan peralihan ke bioinput.

→Jepun beri insentif untuk pertanian karbon-negatif.

→ EU sedang perkenal Soil Health Law — tanah dilindungi sama seperti udara dan air.

Tapi Malaysia? Masih terperangkap dalam sistem subsidi dan amalan lapuk — yang melindungi sistem, bukan petani.

Kalau anda diberi kuasa hari ini, apa satu polisi pertama anda akan ubah dalam pertanian Malaysia?

Biar kita cabar naratif lama — dan fikir semula masa depan pertanian.

Bukan dari atas meja mesyuarat, tapi dari akar tanah yang sedang nazak.

*DR. SUZIE HARYANTI HUSAIN merupakan Pakar Kesihatan Tanah, Naib Presiden Global Presica Tech, Konsultan Projek Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan arkitek SHE™ Framework.

BACA JUGA Adun Pas di Pahang kena ‘bantai’ selepas buat perbandingan dengan Terengganu