Kekalkan momentum beri sokongan penuh kepada calon BN
AMANAH menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Ayer Kuning agar terus mengekalkan momentum kemenangan Kerajaan Perpaduan dengan memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Sany Hamzan berkata, dapatan kajian Ilham Centre membuktikan bahawa gelombang sokongan rakyat semakin kukuh terhadap calon Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah hasil kesungguhan kita semua membina sebuah kerajaan yang stabil, progresif dan inklusif demi masa depan rakyat.
“Jangan patahkan momentum ini dengan memecahkan undi atau memilih calon yang tidak bersama dalam kerajaan.
“Undi seperti itu tidak akan membawa sebarang hasil kepada rakyat Ayer Kuning, malah akan menyulitkan usaha pembangunan di peringkat negeri,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat memaklumkan AMANAH telah menggerakkan seluruh kekuatan jentera dari seluruh negara ke Ayer Kuning, dan akan terus berkempen hingga ke detik akhir.
“Kami turun dari rumah ke rumah, menyampaikan mesej, mengetuk pintu hati rakyat dan menyeru semua pengundi agar keluar mengundi dengan bijak dan bertanggungjawab.
“Calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan adalah suara rakyat yang boleh dibawa terus ke meja pentadbiran negeri.
“Ini bukan soal parti, tetapi soal siapa yang mampu menyampaikan dan melaksanakan amanah rakyat.
“Saya yakin, rakyat Ayer Kuning akan membuat pilihan yang tepat, bersama majoriti rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan, kemajuan dan perpaduan yang utuh,” tambahnya lagi.
BACA JUGA PN terdesak hampiri PRK Ayer Kuning, sambutan Aidilfitri KKM bukan di hotel mewah