Pengundi Ayer Kuning tak bazir undi, calon BN miliki laluan bawa suara rakyat
Seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan membazirkan undi untuk memilih wakil rakyat mereka esok.
Pengarah Operasi Pakatan Harapan PRK DUN Ayer Kuning, Salman Saleh berkata, laporan terkini Ilham Centre hari ini memberi gambaran jelas bahawa pengundi terbabit semakin cenderung menyokong calon Kerajaan Perpaduan.
“Arus ini bukan terbina secara kebetulan, tetapi hasil penilaian matang rakyat terhadap prestasi, kesungguhan dan tawaran realistik yang dibawa oleh kerajaan negeri.
“Kami di pihak Pakatan Harapan percaya bahawa pengundi hari ini semakin bijak menilai, dan tidak mahu membazirkan undi kepada calon yang tidak bersama kerajaan dan sukar membawa manfaat langsung kepada kawasan,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Esok, seramai 31,315 pemilih berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan keluar mengundi di 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran bermula 8 pagi hingga 6 petang.
Hanya pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti ditutup lebih awal pada 4 petang dengan proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Merdeka Tapah.
Penyelesaian bukan kebencian
Mengulas lanjut, Salman menegaskan calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan bukan sahaja membawa suara rakyat, tetapi juga mempunyai laluan terus untuk menyampaikan hasilnya.
“Lebih penting, kami melihat rakyat juga semakin muak dengan pendekatan politik Perikatan Nasional (PN) yang terus memainkan isu-isu sensitif seperti kaum dan agama.
“Ia termasuk isu ladang babi, semata-mata untuk membakar sentimen dan mencetuskan perpecahan.
“Namun, reaksi pengundi jelas, isu seperti ini tidak lagi berkesan,” katanya.
Beliau berpendapat rakyat di Ayer Kuning mahukan penyelesaian dan perpaduan bukannya sentimen dan kebencian.
“Kami percaya semangat itu akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya esok.
“Kami dengan rendah hati menyeru semua pengundi Ayer Kuning, khususnya mereka yang mahu kestabilan dan pembangunan, agar bersama majoriti rakyat, mengundi calon yang mampu bekerja, bukan hanya bersuara,” kata Salman lagi.
BACA JUGA Tiada pencemaran dari sembilan kandang babi di Ayer Kuning