Tiada pencemaran dari sembilan kandang babi di Ayer Kuning
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dakwaan isu pencemaran akibat penternakan babi di Ayer Kuning adalah tidak berasas.
Beliau yang mesra dengan panggilan Bang Mat atau Mat Sabu berkata demikian dalam ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Baru Coldstream malam tadi.

“Bang Mat sendiri telah hubungi pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan siasatan mengesahkan tiada pencemaran berlaku daripada sembilan kandang yang beroperasi.
“Rakyat perlu tahu fakta sebenar dan tidak terpedaya dengan dakwaan tidak berasas,” tegas Mohamad lagi menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Pas mendakwa air Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan DUN Ayer Kuning dicemari ladang ternakan babi.
Pemimpin dan jentera pilihan raya parti itu bahkan sanggup mengharungi sungai itu bagi mencari najis babi sehingga mengundang sindiran warganet.
Malah, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi laman Facebook semalam, mendakwa menyaksikan sendiri sisa kumbahan najis babi disalirkan terus masuk ke dalam Sungai Bidor.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mencabar Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun dan membasuh muka menggunakan air Sungai Bidor selepas lokasi pencemaran.

Mengulas lanjut, Mohamad dalam masa sama mengingatkan semua penternak supaya mematuhi peraturan dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan.
“Isu alam sekitar dan kesihatan masyarakat adalah tanggungjawab bersama.
“PRK ini peluang besar untuk warga Ayer Kuning. Kita mahukan pembangunan, peluang pekerjaan dan kemajuan yang lestari.
“Tapi paling penting, kita perlukan wakil rakyat yang mendengar dan bekerja untuk rakyat.
“Bang Mat mohon pengundi Ayer Kuning buat pilihan bijak.
“Undilah calon yang bawa suara rakyat dan bersama Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan masa depan yang lebih cerah,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Adun Pas di Pahang kena ‘bantai’ selepas buat perbandingan dengan Terengganu