Tergamak Pas harung sungai cari najis babi demi undi PRK Ayer Kuning
Tindakan pemimpin dan jentera pilihan raya Pas yang tergamak turun mengharungi sungai bagi mencari najis babi demi merebut undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak mengundang sindiran orang ramai.
Mereka termasuk Ketua Penerangan Pas dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa air Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan DUN Ayer Kuning dicemari akibat kewujudan ladang ternakan babi.
Rata-rata berpendapat Pas sudah begitu terdesak sehingga sanggup ‘menunggang’ isu babi walaupun masalah itu gagal diselesaikan semasa parti pembangkang itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perak daripada 2020 hingga 2022.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasar Mas, Wan Abd Hadi secara sinis mengajak Ahmad Fadhli pulang menjenguk kawasan bukannya sibuk hal di negeri lain.
“Kau buat apa Fadhli? Kau nak buktikan apa pada rakyat di Ayer Kuning?
“Malu tengok sampai masuk sungai cari najis khinzir. Kau masuk sungai buat apa? Balik Pasir Mas, buat kerja di sini.

“Kau sibuk tempat orang, kenapa? Masalah kandang khinzir tu sudah berpuluh tahun berlaku.
“Zaman Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria jadi Exco Pertanian lagi, kandang khinzir dah ada.
“Sepatutnya, kau tanya Razman apa dia buat Waktu dia jadi Exco dulu.
“Kenapa zaman dia tak diselesaikan isu-isu kandang khinzir ni?” tempelaknya menerusi TikTok yang sudah meraih lebih 16,000 tontonan setakat pagi ini.
Semalam, Ahmad Fadhli menerusi laman Facebook mendakwa menyaksikan sendiri sisa kumbahan najis babi disalirkan terus masuk ke dalam Sungai Bidor.
Pemimpin Pas berkenaan turut mencabar Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun dan membasuh muka menggunakan air Sungai Bidor selepas lokasi pencemaran.
“Baiklah, kalau YAB TPM terlalu yakin ladang babi itu ikut SOP (prosedur operasi standard), saya cabar turun dan basuh muka.
“Ada berani?” soalnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, pengusaha ladang babi di kawasan DUN Ayer Kuning beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, cadangan pembangkang mengenai penambahbaikan operasi ternakan terbabit adalah tidak relevan.
Menurutnya, pengusaha berkenaan sudah mendapat lesen mengusahakan ternakan mereka sejak sekian lama.
BACA JUGA Adun Pas di Pahang kena ‘bantai’ selepas buat perbandingan dengan Terengganu