Asas ekonomi negara kekal kukuh, berdaya tahan – Menteri Kewangan II
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan, terutamanya disokong permintaan domestik yang baik, ekonomi yang pelbagai dan pelaburan yang mampan.
Beliau turut yakin Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan pada tahun ini walaupun terdapat halangan dan badan multilateral menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia.
“Malaysia kekal pada kedudukan baik untuk mendepani ketidaktentuan global,” lapor Bernama.
Menurutnya, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.1 peratus pada 2024, lebih tinggi daripada 3.6 peratus yang dicapai tahun sebelumnya.
Dalam masa sama, Amir Hamzah turut berkongsi fokus Kerajaan MADANI dalam menetapkan semula ekonomi negara.
“(Antara lain) kami berusaha untuk memacu ekonomi daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi di peringkat global dan untuk itu, kami perlu berusaha keras dan keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana,” katanya lagi.
Mengulas unjuran pertumbuhan negara oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 4.1 peritus iaitu turun daripada 4.7 peratus sebelum ini, Amir menekankan kepentingan untuk tidak terlalu menumpukan pada angka pertumbuhan.
Jelasnya, fokus perlu diberi kepada membina daya tahan seperti yang telah kerajaan laksanakan sejak tiga tahun lalu serta memastikan negara mempunyai mekanisme dan dasar tepat untuk terus berkembang dalam ketidaktentuan global yang meningkat.
BACA JUGA Pensyarah UUM diperintah pulangkan RM141,148 dan bayar RM30,000 kepada Datin Che Asmah