Pensyarah UUM diperintah pulangkan RM141,148 dan bayar RM30,000 kepada Datin Che Asmah
Dr Kamarul Zaman Yusoff diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memulangkan sepenuhnya wang berjumlah RM141,148 yang telah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim bayar kepada pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Che Asmah yang memaklumkan perkara tersebut menerusi Facebook hari ini berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam telah memberikan keputusan bagi tuntutan rayuan yang telah beliau failkan pada 27 September tahun lalu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang.
Terdahulu, Che Asmah yang juga bekas Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Ampang telah membenarkan tuntutan saman fitnah Kamarul terhadap beliau pada 18 September tahun lalu.

Saman fitnah itu dibuat terhadap hantaran Facebook Che Asmah bertarikh 29 April 2021:
“Tak insaf-insaf lagi hamba Allah ini. Yang hairannya setiap bulan Ramadhan ada
sahaja makar (tipu daya) yang dibuatnya”.

Menurut Che Asmah, setelah dinilai sepenuhnya, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan rayuan beliau dan mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang tersebut.
“Mahkamah Tinggi Shah Alam turut memerintahkan agar wang berjumlah RM141,148 yang telah saya bayar kepada responden untuk dipulangkan sepenuhnya kepada saya.
“Sebagai tambahan, responden turut diarahkan untuk membayar kos berjumlah RM30,000 tertakluk kepada alokatur bagi kos rayuan ini,” jelas Che Asmah lagi.
BACA JUGA Rafidah dakwa saman cara untuk diamkannya