BN raih 68 peratus sokongan pengundi Ayer Kuning – IDE
Sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mencecah 68 peratus, menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE).
Tinjauan IDE bermula daripada 10 April hingga semalam juga mendapati Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 26.1 peratus sokongan.
Analisis juga menunjukkan BN berupaya meraih sokongan rentas kaum berbanding PN yang sokongannya lebih tertumpu hampir eksklusif kepada segmen pengundi Melayu.
Dalam masa sama, calon Dr Yusri daripada BN pula mendapat pengiktirafan majoriti responden ketimbang calon PN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“PN hanya menunjukkan kekuatan dalam niche Melayu muda, namun gagal menembusi undi kaum lain atau warga emas.
“BN berada dalam posisi paling stabil dengan keupayaan menarik sokongan pelbagai kaum dan peringkat umur, mencerminkan naratif inklusif yang berjaya,” kata IDE.
Berkenaan gabungan PH–BN, kajian IDE mendapati sebanyak 53.2 peratus responden menyokong kerjasama tersebut dan percaya ia mampu menangani isu negara.
“Berdasarkan unjuran semasa, IDE menjangkakan BN berada dalam kedudukan yang selesa untuk mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
“Gabungan kekuatan rentas kaum, penguasaan dalam semua kategori umur dan kelebihan jentera tradisi menjadikan BN sebagai pilihan utama pengundi dalam PRK kali ini,” kata IDE lagi.
BACA JUGA PRK Ayer Kuning: 34.06 peratus keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari