Kalimah dua syahadah sebagai senjata: Serangan pengganas di Kashmir amalan Khawarij

Seorang ulama mengecam serangan pengganas ke atas 26 pelancong di Pahalgam, Kashmir pada 21 April lalu sebagai amalan Khawarij yang ekstrem.

Dalam serangan tersebut, kalimah dua syahadah digunakan sebagai senjata untuk menentukan sama ada seseorang boleh dibunuh.

Mangsa-mangsa turut diperiksa sama ada mereka telah berkhatan atau tidak sebelum ditembak mati.

Seorang mangsa yang terselamat adalah seorang profesor mengucapkan kalimah dua syahadah.

“Membunuh atas dasar kafir adalah haram. Kafir adalah saudara atas nama kemanusiaan,” kata Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Terengganu, Zuliadin Abdullah.

“Membunuh atau berperang kerana mempertahankan agama dibenarkan seperti mana yang kita ketahui dalam Perang Uhud,” tambah beliau.

“Mereka ini pelampau agama yang membawa ajaran Khawarij dan takfiri yang ekstrem,” jelasnya.

Zuliadin turut ditanya berkenaan ketiadaan suara-suara ulama yang mengecam serangan tersebut dari Malaysia.

“Di sini mereka sibuk berkenaan politik tempatan. Mereka juga sibuk berkenaan isu Gaza. Sepatutnya para ulama turut mengecam serangan tersebut.”

BACA JUGA: Berbeza pandangan dibenarkan, menghina tak boleh… dosa