MB Kedah sertai Chingay, Firdaus Wong perjelas itu ‘Perarakan Dewa’

Pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung menegaskan bahawa perarakan Chingay juga dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin (Goddess of Mercy).

Beliau berkata demikian mengulas penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perarakan Chingay yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh.

Menurutnya, Chingay yang diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina adalah bersempena merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.

“Persembahan Chingay ini dikaitkan dengan acara agama dan budaya tradisi masyarakat etnik Tionghua.

“Perarakan Chingay diraikan pertama kalinya pada tahun 1919 semasa pesta perarakan di jalan-jalan George Town dan Butterworth.

“Perarakan Chingay yang kedua telah diadakan pada tahun 1926 dalam perayaan Hari Jadi Tuhan,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook.

Tiang bendera

Terdahulu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkongsikan lebih 30 gambar dengan antaranya menunjukkan dia mengangkat tiang bendera gergasi menggunakan mulut, dahi dan bahu.

Dilihat memakai baju tertera logo lakaran wajahnya mengangkat tangan gaya Perdana Menteri dengan kapsyen “Refornusi”, pemimpin Pas itu melakukan aksi dalam persembahan Chingay sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Mengulas lanjut, Firdaus Wong berkata, pada awalnya perayaan Chingay di Pulau Pinang dikaitkan dengan amalan dalam upacara perayaan bagi meraikan dewa-dewa Tionghua semata-mata.

“Namun, kemudian berkembang menjadi lebih luas dan tidak hanya sebagai persembahan tradisional, namun juga diserikan dengan akrobatik moden,” katanya.

Jelasnya, perarakan Chingay Johor Bahru adalah bertemakan atas penyembahan lima dewa utama daripada lima kumpulan puak utama Tiong-Hua di Johor Bahru, iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew.

“Oleh itu, Perarakan Chingay juga dimaksudkan sebagai ‘Perarakan Dewa’ dalam bahasa etnik berkenaan, sebagai tanda ucapan terima kasih kepada dewa.

“Patung-patung dewa yang disembah dibawa keluar dari kuil dan dibawa beramai-ramai di jalan-jalan bandar sehingga orang ramai dapat menerima berkat dari dewa-dewa tersebut,” kata Firdaus Wong lagi.

BACA JUGA Dulu sembang ‘mainlah permainan murah’, kini MB Kedah dah hayun kayu golf