Pengundi Ayer Kuning diseru keluar awal

Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, berharap pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan keluar awal untuk mengundi.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Tapah itu tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong pada jam 8.45 pagi.

“Pastinya hari ini penentuan, seperti dinyatakan dalam siri kempen sebelum ini, saya dan jentera mempromosi supaya pengundi memilih BN dan harap ia diterjemahkan pada kertas undi.

Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir

“Pengundi juga dinasihatkan keluar awal dan pagi ini, kita lihat cuaca pun baik, selain berharap ia berterusan hingga petang bagi membolehkan orang ramai keluar mengundi.

“Saya sudah tak boleh merayu (berkempen), tetapi harap pengundi akan memberi sokongan kepada BN,” lapor BH selepas selesai mengundi, pagi ini.

Mohamad Yusri merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI).

Pesara dan bapa kepada empat anak itu berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seramai 31,315 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran dibuka hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Proses penjumlahan rasmi undi bagi PRK ke-13 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini akan berlangsung di Dewan Merdeka Tapah.

BACA JUGA PRK Ayer Kuning: 31,315 pengundi pilih YB baharu hari ini