PRK Ayer Kuning: 31,315 pengundi pilih YB baharu hari ini
Mulai 8 pagi ini, seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.
Sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis serta pasangan mereka telah melakukan pengundian awal pada 22 April lalu.
Hari ini, 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.
Proses penjumlahan rasmi undi bagi PRK ke-13 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini akan berlangsung di Dewan Merdeka Tapah.

Tiga calon berentap dengan Barisan Nasional (BN) diwakili Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.
Sepanjang tempoh 14 hari berkempen yang berakhir tengah malam tadi, kempen calon BN dilaksanakan secara tersusun melalui kaedah ziarah rumah ke rumah yang diterima baik pengundi.
BN menampilkan tiga tekad dan tujuh tawaran untuk rakyat di Ayer Kuning dengan hasrat menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Membawa imej Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, gabungan BN dan PH hakikatnya memiliki kelebihan strategik.
Dalam masa sama, undi BN dan PH pada PRU-15 lalu di DUN Ayer Kuning yang dicampurkan berjumlah 15,963 undi, bersamaan 68 peratus undi popular mungkin akan diterjemah dalam PRK kali ini.
Sementara itu, PN atau lebih tepat Pas – lantaran tidak kelihatan kerja keras Bersatu di lapangan – menggunakan isu pencemaran najis babi bagi menarik undi Melayu.
BACA JUGA Pengundi Ayer Kuning tak bazir undi, calon BN miliki laluan bawa suara rakyat