Rafidah dakwa saman cara untuk diamkannya
‘Selebriti pembangkang’, Rafidah Ibrahim mendakwa tindakan mahkamah sebagai cara untuk mendiamkan dirinya daripada bersuara tentang isu di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Dia berkata, apa yang dipertahankan adalah kampungnya sendiri, iaitu sebagai penduduk dan rakyat.
“Apabila rakyat bersuara kita pasti akan disusahkan oleh pihak tertentu.
“Apa sahaja yang saya suarakan daripada tahun lepas, ini sudah pasti penduduk atau rakyat akan didiamkan, akan disenyapkan tanpa ada penjelasan, atau penyelesaian.
“Itu yang berlaku kepada saya dan saya juga yakin perkara yang sama turut berlaku kepada rakyat lain yang sedang bersuara,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, semalam.
Rafidah berkata, pihak yang berjawatan hari ini perlu mendengar suara rakyat, mencari penyelesaian dan menyelesaikan masalah yang sedang berlaku.
“Bukan diamkan kami, susahkan kami. Apatah lagi nak diamkan rakyat dengan menghantar saman dan sebagainya,” ujarnya.
Walaupun tidak merujuk atau menyebut mana-mana pihak, penegasan wanita berkenaan dilihat selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menuntut Rafidah supaya memohon maaf atau berdepan tindakan saman.
Pada 17 April lalu, Khalid menegaskan tindakan saman itu terpaksa dibuat lantaran dakwaan Rafidah merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
Pempengaruh berkenaan mendakwa Khalid mahu memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.
Khalid menjelaskan bahawa isu tanah di Kampung Baru berbeza dengan tanah rizab Melayu yang lain dan Rafidah tidak faham apa yang diperkatakannya.
Untuk rekod, Rafidah dikatakan sudah pun keluar dari kawasan itu dan berpindah ke tempat lain.
Kelantangan Rafidah lebih kepada tidak berpuas hati kerana menerima pampasan yang kecil, dakwa seorang penduduk Kampung Sungai Baru yang bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.
BACA JUGA Inilah hasrat orang Kg Sg Baru, tak mahu lagi lalu sarang penagih