Tidak rasmi: BN gembira di Ayer Kuning, raih majoriti 4,812 undi

Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menang bergaya dengan meraih sebanyak 10,971 undi.

Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Tapah mengaut majoriti 4,812 undi.

Beliau mengatasi pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek yang hanya mendapat 6,159 undi.

Sementara itu, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS memperoleh 1,059 undi sekaligus hilang deposit.

Proses pengundian hari ini membabitkan 31,281 pengundi berdaftar bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Setakat jam 4 petang, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 54 peratus.

Sebanyak 19 pusat pengundian dibuka membabitkan 63 saluran dalam PRK DUN Ayer Kuning.

BACA JUGA BN raih 68 peratus sokongan pengundi Ayer Kuning – IDE