Cara kempen sihat tidak sentuh perkauman faktor pengundi Ayer Kuning pilih kerajaan
Kaedah kempen secara sihat yang digunakan pemimpin dan jentera Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning menjadi faktor pengundi memilih calon Barisan Nasional (BN) dan menolak blok pembangkang.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan PRK malam tadi membuktikan rakyat menolak kempen yang bersifat perkauman dan memecahbelahkan.
“Senang cakap ini adalah penolakan terhadap politik berbaur perkauman. Rakyat Malaysia akan menolak perkara seperti ini, khususnya di Ayer Kuning.
“Mereka tidak boleh menerima dan mereka memilih perpaduan, serta menentang perpecahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim, hari ini.
Mohamad Yusri, yang juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).
Jumlah majoriti dimenangi calon BN Mohamad Yusri Bakir meningkat, sementara undi yang diterima Perikatan Nasional (PN), merosot.
Daripada 20 pusat daerah mengundi, sebanyak 19 telah dimenangi oleh Kerajaan MADANI.
“Ini satu petanda positif, namun kita tidak boleh leka… banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuhkan,” kata Fahmi lagi.
BACA JUGA Hasbie Muda kecam Pas jaja politik perkauman sampai ke Singapura