Hasbie Muda kecam Pas jaja politik perkauman sampai ke Singapura
Pemuda AMANAH Nasional menempelak tindakan dua pemimpin Pas yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataan berhubung Pilihan Raya Umum Singapura.
Ketua Pemuda AMANAH Hasbie Muda berkata, tindakan itu tidak hanya melanggar norma hubungan antarabangsa, malah berpotensi mencalarkan hubungan diplomatik yang sekian lama terjalin erat antara Malaysia dan Singapura.
Katanya, sebarang bentuk kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi politik domestik Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang implikasi diplomatik yang tidak perlu.
“Apa yang menjadi masalah ialah apabila kenyataan tersebut cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama.
“Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan semua pihak, khususnya Pas bahawa keprihatinan terhadap sesuatu komuniti di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk campur tangan dalam urusan politik negara tersebut.
“Tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasbie menegaskan bahawa hubungan baik Malaysia-Singapura perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat, adab diplomasi dan tanggungjawab bersama.
Katanya, tindakan pemimpin Pas yang melulu bukan sahaja merosakkan nama baik parti masing-masing, malah turut mencemar imej negara di mata masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional menyeru agar pemimpin Pas sentiasa menjaga tata susila dalam berurusan dengan hal ehwal antarabangsa, serta mengutamakan keharmonian serantau berbanding kepentingan politik sempit.
BACA JUGA Mat Sabu umum awal, Hetty Koes Endang akan nyanyi percuma di majlis beliau