ADUN PN ini sedar ke tidak beliau dah hasut rakyat tidak percaya pada Agong
Tindakan ADUN dari Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Muhammad Fauzi yang didakwa meremehkan Perlembagaan Persekutuan dengan mengatakan “ia hanya sekadar kertas”, adalah tindakan yang memperkecil kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Peguam, Dr Zulqarnain Lukman mempersoal adakah ADUN Sura itu sedar atau tidak bahawa Perlembagaan Malaysia berkait rapat dengan kedudukan Raja-Raja.
Beliau juga bertanya adakah ADUN pembangkang itu sedar bahawa kedudukan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia ini jauh lebih kuat daripada Perlembagaan Singapura.
Dalam Perlembagaan Malaysia, kesemua jawatan penting dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri, Ketua Polis, Panglima Tentera, Ketua Hakim, Peguam Negara dan banyak lagi jawatan penting kerajaan kesemuanya perlu mendapat perkenan Agong atau Majlis Raja-Raja.
Dalam Perlembagaan Singapura pula tiada peruntukan berkaitan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
“ADUN ini sedar atau tidak bahawa sebarang pelanggaran Perlembagaan itu adalah satu perkara yang serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada secara sivil atau jenayah.
“Tulisan ADUN ini memperkecilkan kuasa dan kedaulatan Agong dan Majlis Raja-Raja seolah-olah ADUN ini menganggap Agong dan Majlis Raja-Raja ini boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.
“Tulisan sebegini adalah satu cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada kenyataan Muhammad Fakhruddin, beliau mengatakan Perlembagaan hanyalah sekadar kertas, manakala kuasa politik adalah realiti yang menentukan nasib bangsa.
Beliau memberi contoh, Perlembagaan Singapura dahulu memberi jaminan bahawa kedudukan orang Melayu terjamin melalui Perkara 152, namun kini didakwanya ia telah digugat walaupun tanpa sebarang pindaan.
Beliau mendakwa masjid di Singapura dikawal kerajaan, madrasah ditekan mengikut silibus sekular, bahasa Melayu menjadi ‘hiasan’ dan jarang berlaku kenaikan pangkat dalam kalangan anggota polis, askar serta kakitangan kerajaan berbangsa Melayu.
“Semua ini berlaku tanpa perlu pinda satu huruf pun dalam Perlembagaan. Kalau DAP dan geng dapat dua per tiga di Parlimen (Malaysia), apa boleh jadi?,” katanya.
Dalam pada itu Zulqarnain berkata, tulisan sedemikian sudah melampaui batasan undang-undang dalam bersuara dan tindakan tegas wajar dikenakan.
BACA JUGA Hetty Koes hiburkan tetamu di majlis Aidilfitri KPKM tanpa bayaran, kementerian jimat besar