‘Bersatu bangga meskipun gagal di Ayer Kuning’

Timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin bangga dengan pencapaian calon Perikatan Nasional di dalam pilihan raya kecil Ayer Kuning meskipun calon tersebut gagal.

“Saya bagi pihak PN berasa bangga kerana kita dapat mengekalkan jumlah pengundi yang kita terima dalam pilihan raya yang lepas.

“Kalau dibandingkan dengan mereka (BN-PH) yang sebelum ini menguar-uarkan bahawa akan mendapat lebih kurang 18,000 undi di antara gabungan UMNO dan DAP, tetapi akhirnya mereka tidak mencapai angka tersebut,” katanya dalam majlis Aidilfitri Port Dickson.

Sasaran 18,000 undi tersebut telah diumumkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berdasarkan syarat peratus keluar mengundi ialah 75%.

Peratus pengundi keluar mengundi adalah 58.07%.

Dalam PRK Ayer Kuning pada hari Sabtu, calon Umno – BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Yusri memperoleh 11,065 undi manakala Abdul Muhaimin Malek daripada (Pas-PN) yang memperolehi 6,059 undi.

Calon PSM, Bawani KS hilang deposit setelah memperoleh 1,106 undi.

BACA JUGA: BN bergaya pertahan Ayer Kuning, sah raih majoriti 5,006 undi