Isu Kampung Sungai Baru: Apa kata Ahli Parlimennya?
Projek pembangunan Kampung Sungai Baru perlu diteruskan kerana projek tersebut tidak boleh dibatalkan setelah warta di bawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan pada 18 Jun 2021 manakala warta di bawah seksyen 8 dikeluarkan pada 21 Jun tahun yang sama, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa).
Pewartaan tersebut bermakna pembatalan projek bukan lagi pilihan. Penantian 328 pemilik pangsapuri dan rumah teres juga akan berakhir.
“Tiada penyelesaian lain boleh diambil walaupun 219 penduduk (27 pemilik lot teres dan 192 pemilik flat) atau kira-kira 67 peratus bersetuju menarik balik keputusan,” kata Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
“Mereka sudah menandatangani persetujuan perjanjian usaha sama, menerima pampasan dan berpindah keluar seperti diminta pemaju.
“Keputusan tidak boleh diundur kerana perjanjian sudah dibuat. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mencari penyelesaian bagi membolehkan pemaju memulakan projek segera supaya tidak lagi terbengkalai.
“Projek mungkin mengambil masa lima tahun (dari sekarang) kerana kalau projek disiapkan cepat pun, ia tetap memerlukan 11 atau 12 tahun,” katanya dalam rancangan Podcast Utama Buletin TV3.
Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok Pangsapuri Sungai Baru. Pengambian tanah bermula sejak 2016.
‘Jangan beri alasan, siapkan projek’
Johari juga menegaskan bahawa pemaju tidak boleh dibiarkan menggunakan alasan gagal memulakan projek kerana tiada persetujuan 33 peratus pemilik iaitu 37 pemilik lot teres dan 72 pemilik pangsapuri.
“Projek ini perlu dipastikan tidak terbengkalai kerana jika tunggu mahkamah membuat keputusan mengenai pampasan, walaupun ada pemilik sudah memperolehnya, mungkin ambil masa enam, tujuh, lapan tahun lagi.
“Jika kes tidak memihak kepada mereka di Mahkamah Tinggi, ia akan dibawa ke Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan.
“Sementara nak menunggu selesai, berapa ramai yang meninggal dunia, termasuk 67 peratus yang bersetuju itu?
“Apabila penama meninggal dunia, kena ada probet (proses membuktikan secara rasmi kesahihan atau keabsahan wasiat) dan proses seterusnya akan menjadi semakin rumit berikutan tertangguh lama,” katanya.
Johari yang mempersoalkan kewibawaan syarikat pemaju turut mendedahkan bahawa syarikat berkenaan telah berjaya mempengaruhi 67 peratus pemilik agar menandatangani perjanjian usaha sama.
“Pemaju ambil kesempatan dengan mendapatkan persetujuan 67 peratus untuk menandatangani perjanjian usaha sama, bukan perjanjian jual beli yang mana geran milik penduduk dipindah milik kepada pegangan syarikat.
“Ini berlaku kerana ada penduduk tertarik tawaran wang perpindahan RM10,000 dan sewa bulanan RM1,200 selama tujuh tahun serta janji kediaman baharu siap dalam masa empat tahun,” katanya sambil menambah perjanjian ditandatangani penduduk selepas beliau tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.
“Sepatutnya, perpindahan 67 peratus itu ditangguhkan sehingga baki 33 peratus bersetuju. Sekarang semua unit yang ditinggalkan rosak dan tidak boleh dipulihkan,” katanya.
BACA JUGA: Johari Ghani perjelas isu Kampung Sungai Baru minggu hadapan