Peguam Negara berjaya peroleh kebenaran merayu kes Titah Adendum

Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkenaan prosiding semakan kehakiman ke atas Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi.

Kebenaran merayu tersebut dicapai sebulat suara oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan – Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Ia dibenarkan selepas didapati bahawa persoalan undang-undang adalah isu bahawu dan menyentuh kepentingan awam.

“Selepas membaca dengan teliti hujahan dan segala nas serta prinsip undang-undang, kami sebulat suara mendapati permohonan (Peguam Negara) berjaya melepasi peruntukan ditetapkan.

“Kami mendapati isu ditimbulkan ada sesuatu yang baharu dan sesuatu yang menyentuh kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Dalam bulan Januari, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Najib untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Najib menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International melibatkan dana sebanyak RM42 juta.

BACA JUGA: Cara kempen sihat tidak sentuh perkauman faktor pengundi Ayer Kuning pilih kerajaan